Pengganas Sulu
bunuh polis dengan kejam
LAHAD DATU 7 Mac - Ditawan
kemudian dipenggal kepala merupakan antara kekejaman yang tiada tara dilakukan
pengganas Sulu ke atas anggota keselamatan negara.
Bukan itu sahaja, seorang anggota pasukan keselamatan yang turut
ditawan dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum dadanya
dibelah dan dikeluarkan segala organ dalaman.
Badan wira negara juga ditetak sehingga bercerai beberapa anggota
badan sebelum dicampak ke laut manakala ada antara mereka maut kerana kedua
biji mata mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.
Seorang lagi anggota pasukan keselamatan walaupun terselamat
menjadi cacat apabila kedua-dua belah tangannya kudung akibat ditetak dan
kepalanya dikelar menggunakan kerambit.
Kesemua wira negara itu diperlakukan sedemikian selepas diserang
hendap pada 2 Mac lalu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.
Perbuatan yang sangat sadis dan tidak berperikemanusiaan itu
menimbulkan tanda tanya apakah mereka ini di bawah pengaruh dadah atau ilmu
hitam.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan
beliau amat dukacita apabila niat suci Malaysia untuk tidak membenarkan setitik
darah tumpah di bumi Sabah dibalas dengan kekejaman oleh pengganas Sulu
terhadap anggota keselamatan.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook
hari ini mengesahkan, selepas operasi menyelamat dibuat anggota komando VAT 69,
mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan penuh kejam.
"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis diserang
hendap oleh penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang lain
cedera. Enam penceroboh bersenjata telah dibunuh pihak polis.
"Polis menghantar pasukan penyelamat untuk membawa keluar
mayat wira-wira kita. Mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku
dengan kejam oleh penceroboh bersenjata tersebut," katanya.
Dalam serangan itu, enam anggota polis maut iaitu Supritendan
Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan
Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.
Semua mereka yang maut itu kemudian diberi kenaikan pangkat
berkuat kuasa serta-merta sebagai menghargai jasa dan pengorbanan wira yang
diumumkan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Terdahulu, pada 1 Mac lalu, pengganas Sulu juga bertindak keji
apabila berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih sebelum
menembak mati dua anggota komando VAT 69 dan mencederakan tiga yang lain di
Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan
Sabarudin Daud, 46, yang menyangka pengganas Sulu ikhlas kemudian bangkit
daripada posisi meniarap menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditembak di kepala.
p/s: Semoga Allah mencucuri rahmat yang melimpah-ruah ke atas arwah-arwah perwira negara Malaysia ini hendaknya. Anugerah "Syahid" itu adalah pasti - Janji Allah itu adalah pasti bagi orang-orang yang mempertahan maruah negara! Allahhu Akhbar! Allahhu Akhbar! Allahhu Akhbar!
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment